Memoir Jolo

Mungkin akhirnya tercapai juga hasrat untuk menerbitkan memoir perjalanan ke Jolo. Manuskrip kini dalam proses penyuntingan semula dan dijangka terbit hujung tahun ini.

Harap-harap menjadi juga karya tu. Berikut beberapa petikan dari memoir berkenaan:

“Macam Philip ini, selamat jugakah dia? Dia muka macam orang Cina. Macam mana dengan saya? Saya bukan Muslim. Philip pun bukan Muslim. Adakah mereka akan menerima orang yang bukan Muslim datang ke kem mereka?”

Soalan ini saya tanyakan sekurang-kurangnya tiga kali dan setiap kali itu juga Ibrahim memberi jaminan bahawa kami akan selamat.

“Kau kasi tahulah kau Muslim,” kata Ibrahim.

“Tapi macamana kalau mereka suruh saya buktikan kata-kata saya? Saya tidak tahu apa-apa,” saya bertanya lagi.

“Ah, tidak bah. Kau jangan takut. Jangan saja kau bawa barang-barang berharga,” kata Ibrahim.

***

Mereka kelihatan begitu berbahaya dan saya dapat merasakan mulut saya tiba-tiba kering apabila terpaksa berjalan di antara mereka yang tidak sedikit pun memberi isyarat bahawa kedatangan kami dialu-alukan di tempat itu.

Seorang daripada mereka yang sedang bersandar pada satu tunggul bersama-sama beberapa yang lain, menjulurkan kaki sehingga ia merintangi laluan kami.

Dia sedikit pun tidak mengganjakkan kakinya menyebabkan kami terpaksa mengelak daripada melangkahinya.

Beberapa daripada mereka mengenakan seluar celoreng, berkemeja-T atau bersinglet...

***

Tapi apabila saya merenungnya agak lama, dia memberi isyarat jari telunjuk merentasi lehernya. Kerat leher kalau tak bagi kasut, mungkin itulah maksud isyarat itu.

***

Sekali lagi kami dikelilingi lelaki-lelaki bersenjata dan kali ini seorang daripada mereka berkata kami tidak boleh keluar dari kawasan itu.

Ini adalah kali keempat kami ditahan oleh anggota kumpulan Abu Sayyaf dan saya dapat merasakan bahawa kali ini penahanan kami adalah atas sesuatu sebab kerana mereka tidak pun mengganggu atau meminta kami menyerahkan apa-apa kepada mereka.

Mereka hanya mendiamkan diri dan mengawal kami. Ketika itu hari sudah benar-benar gelap -- di tengah-tengah hutan tebal, malam memang tiba dengan lebih cepat.

Keadaan sekeliling begitu sunyi dan hanya kedengaran bunyi cengkerik...

***

Dalam keadaan risau dan takut itu, saya teringat keluarga di rumah dan di kampung. Di tengah kegelapan ini, ketika saya sedang dalam tahanan pengganas, saya terfikir entah bagaimana keadaannya di rumah dan di kampung.

Entah apa yang sedang mereka lakukan.

Barangkali mereka sedang menonton televisyen.

Barangkali sedang makan malam.

Barangkali mereka sedang memikirkan nasib saya.

Barangkali mereka sedang memikirkan bahawa saya sedang memikirkan mereka.

Barangkali saya tidak akan berjumpa lagi dengan mereka.

3 Comments:

  1. Little Mike (LM) said...
    Penghulu, biar saya cerita sedikit pasal apa org di sabah terutama sekali di kg tentang pemergian penghulu ke Jolo ketika itu...

    1. si A, seorang veteran kampung mengatakan kepada saya, bukan orang sembarangan yang boleh memijak kaki ke Jolo 'tanpa sebab'.

    2. Si B, anak muda kampung memandang pemergian penghulu ke Jolo sebagai tidak menghairankan sebab 'darah keturunan' menceritakan segalanya menurut anak muda ini.

    3. Si C, Suami beranak 5 di kg kita mengatakan betapa kagumnya mereka mendengar beberapa siri cerita 'getir' yang penghulu pernah ceritakan kepada saya dahulu dan tidak menyangka penghulu 'tidak mudah' diganggu oleh pemuda militan. menurutnya, dia akan bagi kalau diminta tanpa sebarang 'rundingan balas'.... umpamanya kes kasut penghulu.. hehe.

    4. Si D, veteran kampung jg mengatakan penghulu tidak mungkin akan pergi ke tempat itu jika dengan 'tangan kosong'....

    5. Si E, seorang yang berpengaruh dari kampung seberang, mengatakan dia tidak dapat gambarkan keberanian dan kecekapan berfikir penghulu menghadapi situasi di samping mampu berada di samping pemimpin militan yg kelihatan begitu 'magis'...
    semuanya saya sambut dengan senyuman..

    dan dari saya sendiri, tugas itu mmg berada pada tahap bahaya yang tinggi, kelihatan menunggu masa...

    dalam diam saya sebenarnya amat berbangga mempunyai abang seperti Jack....
    Jack said...
    semua tu pasal kerja la tu, minat pada kerja mengatasi semua ketakutan..

    mudah2an buku tu menjadi la, banyak cerita di dalamnya.
    Little Mike (LM) said...
    ya... harap saya dapat beli satu naskah dari jack dengan syarat... hehe harap2 buku itu naskah ke lima dari buku terbitan pertama dan itu perlukan tulisan tangan jack sendiri apa sahaja.. sekurang-kurangnya buku yang saya miliki authornya pernah menconteng sesuatu untuk saya.... hehe

Post a Comment