Pagi itu saya dan bapa bangun awal. Masa tu saya mungkin baru darjah tiga atau darjah empat. Subuh-subuh lagi saya dan bapa meredah hari yang baru sahaja menjadi siang, berjalan kaki antara kebun koko dan kelapa, antara rumah dan pondok di Kampung Parong.

Destinasi kami ialah Pekan Tandek. Misi kami ialah untuk mempertahankan kejuaraan dalam sukan sabung ayam. Nama jaguh: Pengembara.

Saya lihat bapa yang mengendong ayam jagoan itu beberapa kali mengusap-usap pelepah dan memberikan kata-kata perangsang. Ketika itu nama Pengembara tersebar luas dari Parong ke Tingkalanon, dari Tandek hingga ke Kota Belud. Hebat sungguh.

Pada zaman kebangkitannya, bawalah ayam sehebat mana, yang dikatakan jaguh di dua tiga daerah, bawalah jumpa Pengembara dan pasti Pengembara akan mengajarnya apa erti juara yang sebenar.

Memang kelihatan sasa tubuh Pengembara. Tampan dan segak, santai tapi waspada dan menjadi pujaan ayam-ayam betina.

Susunan sisiknya begitu unik dan apabila ditafsir, ayam jagoan itu dikatakan mempunyai senjata tersembunyi -- libasan yang amat kuat, yang akan digunakannya apabila terdesak untuk memusnahkan musuh dan kemudian merangkul kejuaraan.

Orang kata dia bukan sahaja ada sisik "taling" (gerakan penyudah) tapi ada juga "sisik tapuk" -- iaitu serangan yang boleh membuatkan lawan terpegun dan terduduk. Bukan itu sahaja yang digeruni, malah Pengembara juga mempunyai ketahanan fizikal yang tinggi dan boleh bertarung dalam tempoh yang lama sehinggalah lawannya menyerah kalah.

Namun pada hari perlawanan, ada sesuatu yang tidak kena dengan Pengembara. Mulanya dia berlawan seperti biasa -- mengacah, berundur selangkah, melonjak tinggi, mengelak terjahan lawan dan kemudian menerjah balik.

Namun selepas dua pusingan, dia mula kelihatan seperti kebingungan dan walaupun masih dapat membalas pukulan lawan, dia seperti kehilangan langkah.

Apa sudah jadi, bisikku dalam hati. Ayuh pengembara, bangkit! Jeritku dalam hati.

Namun senjata pemusnahnya tidak menjadi, pukulan mautnya tidak sehebat seperti yang dipamerkannya sebelum itu. Dia seperti berada dalam kesakitan yang amat sangat walaupun lukanya tidaklah begitu teruk.

Akhirnya Pengembara tewas dengan kiraan masa -- seingat saya (ini kejuaran tahun 1970-an dulu), Pengembara tidak lari keluar gelanggang, sebaliknya terus melawan sehingga tidak lagi berdaya dan rebah di gelanggang.

Akhirnya tewaslah Pengembara, juara yang pernah digeruni. Namun tidak seperti ayam jaguh yang lain, Pengembara tewas dalam keadaan terhormat. Tewas dalam keadaan bermaruah kerana terus berani bertarung hingga ke saki baki kudrat yang terakhir.

Berpantang lari, tidak seperti ayam jagoan lain yang apabila terdesak akan lari lintang pukang keliling gelanggang dan kadang-kadang melompat keluar gelanggang ke kawasan penonton.

Dalam perjalanan balik saya dapati bapa diam sahaja. Saya syak ada sesuatu yang tidak kena. Ayam sabung yang menjadi lawan Pengembara itu memang hebat juga, tapi sepatutnya tidaklah sehingga boleh membingungkan Pengembara.

Seminggu selepas itu baru terbongkar ceritanya. Ada orang main tipu...sesuatu telah diletakkan di antara bulu pelepah pada kepak ayam lawan. Apabila Pengembara cuba menyusup antara bilah sayap itu untuk melakukan serangan sisi, luka dan matanya akan bergesel dengan bahan berbisa itu dan menimbulkan kesakitan yang amat sangat. Malah ia juga menyebabkan kepedihan pada mata.

Mungkin itu puncanya dia nampak kebingungan. Jika dia seorang manusia, dia mungkin berfikir begini, "Eh? Apa sudah jadi? Biasanya tumbukan macam tu tak lah seberapa sakitnya. Kenapa kali ini lain macam rasanya? Apa pula muslihat kali ini. Ah! Walau apapun saya akan terus melawan!"

Dan melawanlah dia sehingga dia tersungkur rebah.

Hari itu saya -- budak kecil yang masih hingusan -- dua kali menitiskan airmata. Pertama kali kerana mengenangkan Pengembara yang tewas. Sekali lagi kerana selepas tu saya tidak lagi ternampak kelibat Pengembara di halaman rumah.

Hati kecil bertanya: dia sudah kena sembelihkah?

4 Comments:

  1. Little Mike (LM) said...
    cukup berharga, nolstagik dan menarik sekali bila cerita lama kembali diingati..Cerita ini benar2 membuatkan terkedu sebentar kehebatan dan tewasnya si Pengembara jagoan. saya juga tidak lupa sebahagian daripada waktu saya membesar berkaitan juga dengan ayam sabung. saya pasti, demikian juga ahli komuniti yang lain. Saya pernah memiliki ayam sabung sendiri yang pernah digeruni di kg morion.. hehe.
    Little Mike (LM) said...
    Terlupa sia memberitahu ayam sabung jagoan saya yang pernah menawan gelanggang morion dan salimandut ialah "Si Pendatang" (awal tahun 90-an). Berbulan2 juga digeruni dan merangkul juara. Dan yang sangat pasti, bapa adalah jurulatihnya, uncle Ambal assistan merangkap 'joki'... akhirnya, ayam jagoan itu juga 'disapa' kuali.
    Jaxon S said...
    ya, memang nostalgik. setiap dari kita mempunyai cerita tersendiri yang boleh dikisahkan semula. selagi tidak luput dari ingatan, selagi ia bukan cerita yang terlalu sensitif, ceritakanlah sama ada dalam blog masing-masing atau kirim ke e-mel masin asin untuk disiarkan di blog ini.
    =L=E=M= said...
    Em...mick, si pendatang ayam jagoan ko tu PTI ka?Ayam pendatang pun bole masuk gelanggang ka?Ini sudah salah tu....hehehe...

    Seperti korang, saya juga ada ayam sabungan...tapi lupa pula nama ayam tu...

    Ohya, masih ingat dengan nama ayam ni maras-karas?....Ayam si nuar yang juga terkenal di merata tempat.

Post a Comment