Gambar ini diambil dari blog Mickey's Corner. Sememangnya tokoh ini banyak mengingatkan saya kepada kisah-kisah lama -- kisah-kisah sewaktu membesar di antara sawah padi dan ratusan pokok kelapa. Perawakannya sederhana, malah lebih daripada sederhana, beliau sebenarnya bertubuh kecil.

Ketika saya dalam Tingkatan 3, kami berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah. Ketika itu, saya sendiri bertubuh kecil -- lambat membesar mungkin kerana dipegunkan oleh kerja keras di kampung. Otogon ialah istilah bagi Momogun Kimaragang untuk menjelaskan fenomena ini. Tokoh ini, Sangi namanya, bukanlah lambat membesar. Sememangnya beliau telah lama berhenti membesar.

Sangi. Ya, Sangi. Saya menggelar beliau "tokoh" kerana walaupun beliau bertubuh kecil dan hidup dalam kekurangan, beliau juga dihormati orang sekeliling. Minta tolonglah apa sahaja, jika beliau ada kemampuan tenaga, beliau pasti akan cuba menolong.

Semasa kecil saya sering bergurau dan kadang-kadang mempersenda beliau kerana tahu beliau tidak akan ambil hati. Kadang-kadang saya sengaja bawa beliau beradu lumba lari. Kadang-kadang saya menang, kadang-kadang dia kalah! Heh heh!

Rasanya sejak ahli komuniti Masin Asin masih kecil, sehinggalah dewasa ketika ini -- walaupun beliau masih juga terus kecil -- setiap daripada ahli komuniti Masin Asin pasti mempunyai cerita dan pengalaman sendiri mengenai beliau. Saya juga tidak terkecuali daripada mengalami banyak kenangan lucu dek kerana karenah tokoh ini yang walaupun bertubuh kecil, tetapi kadang-kadang degilnya mengalahkan keadaan fizikalnya.

Misalnya, janganlah cuba-cuba beri beliau makan apa-apa hidangan yang mempunyai resepi telur ayam kerana katanya, beliau tidak akan sekali-kali memakan benda yang keluar dari tempat yang sama di mana tai ayam keluar. Heh Heh! Klasik! Beliau juga tidak memakan makanan berkicap kerana, kata beliau, kicap dibuat daripada darah. Heh Heh Heh! Memang klasik!

Suatu ketika saya pernah bertanya beliau, tidak bolehkah beliau berhenti menyedut rokok daunnya itu. Dengan wajah "selamba jack", sambil menyedut rokok daunnya, beliau menjawab, "Aa po ma kaakan sangadau, kada nopo 'ot amu kosigup" (Tidak makan satu hari pun tidak apa asalkan dapat menikmati rokok daun). Beliau juga berkata "Nga kon ko nunu nunu songsigup. Subai ko sigup do kampung. Amu tantu oku do sogirit, amu apa'ang" (Tapi bukan sembarang rokok, mesti rokok kampung (rokok daun) juga. Saya tidak berapa suka sogirit (cigarettes) sebab tidak cukup pa'ang (power)".

Ini adalah antara ungkapan yang masih terngiang-ngiang dalam ingatan. Saya rasa, isi ba'ai palastik (beg plastik) biru dalam gambar ini tidak lain dan tidak bukan adalah bekalan rokok daun. Tidak syak lagi.

Pada tahun-tahun 70-an dan 80-an dahulu, apabila ada majlis keramaian dan apabila ada air tapai dihidangkan, dan beliau ada bersama, hah, siaplah semua orang, sebab dia pasti akan membuka topik debat kegemarannya -- ong ikau, nunu tabanar, nasip ko pikiran (pada pandangan awak, apa yang menentukan hidup kita -- nasib atau daya fikiran?)

Tak kiralah macam mana, atau berapa ramai, orang cuba meyakinkan beliau bahawa daya fikiranlah daya penentunya, beliau akan terus berdegil dan mempertahankan bahawa nasib adalah penentunya. "Umbalai obo kumaraja, nga ong aso no nasip, ih tongo parai nga oruyow do tadau ataupun (pinjam bahasa Melayu ni) ara'ag do liyud" (Cubalah kau kerja, tanam padi ka, apa-apa sajalah tapi kalau tiada nasib, padi kena kemarau la, ataupun kena banjir la..."

Kadang-kadang ada orang yang geram sebab beliau enggan menerima apa-apapun hujah daripada kalangan mereka yang berpihak kepada "pikiran". Tapi akhirnya debat itu berakhir begitu sahaja, tiada pemenang dan tiada jawapan.

Tidak tahulah sekarang ini sama ada debat itu masih berterusan. Mungkin tidak lagi... kerana banyak yang sudah berubah sejak itu dan kesempatan untuk memanjangkan debat itu kini tiada lagi.

2 Comments:

  1. Little Mike (LM) said...
    *two tumbs up!* - Sya sangat suka baca artikel ni. Sya seperti baru sahaja menghabiskan sebuah novel yang mengasyikkan ketika saya selesai membaca artikel ini dalam beberapa minit.

    'Tokoh' yang klasik, kata-kata yang klasik menjadikan artikel ini juga klasik.. Penulisnya juga klasik!
    Jack said...
    heh heh! ini kena tengok mood juga... bila enjin tengah "panas", tulis apa sahaja pun menjadi. tapi bila sudah sejuk, paksa mcm manapun payah sangat keluar idea.

Post a Comment